LZS bantu keluarga tinggal di bangunan usang berpindah | Selangorkini


LZS bantu keluarga tinggal di bangunan usang berpindah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Sepang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang membantu isu viral kes keluarga tinggal di bangunan usang di Sepang berpindah ke unit kedai, malam tadi.

Menerusi laman rasmi Facebook LZS, ketika operasi perpindahan dilakukan, keluarga tersebut pada mulanya enggan berpindah dan memberikan pelbagai alasan.


“Namun kami tetap terus berusaha memujuknya dan berjaya pindahkan mereka ke sebuah unit rumah kedai yang luas ruang tamunya dan mempunyai dua bilik tidur lengkap dengan pendingin hawa. Walaupun telah selesai berpindah, berulang kali katanya tidak selesa di sini dan lagi “bebas” di bangunan lama.

“Kami mengharapkan keluarga ini terbuka hati untuk tinggal di tempat ini dan tidak kembali menetap di bangunan tersebut. Kami telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi keselesaannya, namun selebihnya terpulang padanya,” katanya dalam kenyataan.

16142243_10154793068466221_3748107202792979819_nOperasi dijalankan oleh LZS Daerah Sepang diketuai Ketua Operasi Agihan Daerah Sepang, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dengkil 4 Wheel Club dan beberapa orang penduduk setempat.

Sebelum ini diuar-uarkan menerusi laman sosial apabila masyarakat prihatin menemui keluarga tersebut dalam keadaan menyedihkan di bangunan usang di Sepang dan diviralkan.

Tambah LZS, berlaku pertikaian masyarakat tentang tanggungjawab pelbagai agensi berkaitan kebajikan keluarga itu.

Bagi menjelaskan tuduhan sebelum ini, LZS berkata, makluman kisah keluarga itu adalah di bawah pengawasan pihak berwajib iaitu pihak polis, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Kebajikan Masyarakat dan Zakat Selangor sendiri atas sebab tertentu yang tidak dapat dikongsikan.

“Mereka adalah penerima bantuan zakat termasuklah bantuan rumah baru di Kuala Langat dan pelbagai bantuan lain berkaitan asnaf miskin. Namun, mereka berpindah ke sini dengan alasan sendiri.

“Pada Jun 2016, pegawai Zakat Selangor Sepang sekali lagi menyantuni keluarga ini. Beberapa kali juga dinasihatkan untuk berpindah ke tempat lebih baik tetapi mereka tetap dengan keputusan ini sehinggalah kisah mereka menjadi viral,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next