MB beri penghormatan terakhir, jenazah Adenan disemadi di Samariang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

MB beri penghormatan terakhir, jenazah Adenan disemadi di Samariang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUCHING, 12 JAN : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, di Masjid Jamek Petra Jaya, pagi tadi.

Beliau yang berada di Sarawak sejak semalam tiba di perkarangan masjid seawal jam 10.45 pagi diiringi Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.


Antara pimpinan tertinggi turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda Suhaimi Shafi;, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin; Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

IMG_3572Mohamed Azmin antara ribuan masyarakat yang hadir menyaksikan pergerakan membawa jenazah yang tiba di masjid jam 10.55 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Adenan dibawa dari kediaman Ketua Menteri di Daman Jaya, Santubong, 30 kilometer dari masjid.

Sementara itu, solat jenazah dipimpin Iman Besar Masjid Jamek Petra Jaya, Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, jam 11.45 pagi.

Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan, Ahad lalu selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.

Meskipun belum diketahui punca kematian, Adenan sebelum ini memberitahu beliau mengalami masalah jantung sejak empat tahun lalu.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Samariang di sini, selepas Solat Zohor.

Dalam perkembangan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud hadir menyaksikan upacara pengebumian.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan mencemar duli hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.

-nR-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next