Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB & exco santuni mangsa banjir, hulur bantuan keperluan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAR BERNAM, 25 JAN : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turun padang menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Dewan Paya Baru, di sini, petang ini.

Komited memastikan kebajikan 107 mangsa banjir di sini, dibantu, Mohamed Azmin turut menyampaikan bantuan sumbangan RM500 kepada setiap keluarga terlibat.

Tidak terhenti setakat itu, Dato’ Menteri Besar turut menyampaikan bantuan kepada 158 mangsa banjir di Dewan Serbanguna Sungai Besar.

Dalam pada itu, bantuan berupa barangan keperluan dapur dan bekalan makanan turut diagihkan kepada mangsa.

IMG_20170125_142411_369Bercakap kepada SelangorKini, Dato’ Menteri Besar berkata, sumbangan diagihkan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri meringankan beban mangsa.

“Majlis mesyuarat Kerajaan Negeri telah mendengar taklimat daripada Unit Bencana Negeri berhubung masalah banjir yang melanda penduduk di Sabak Bernam dan Sungai Besar.

“Di Selangor juga tidak terkecuali menerima musibah ini yang menyebabkan beberapa kampung, ditenggelami air bermula Isnin lalu.

“Justeru Kerajaan Negeri mengambil perhatian terhadap musibah ini dan terus komited membantu kebajikan mangsa terlibat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan.

Sebelumnya beliau turut mengambil peluang mendengar permasalahan dibangkitkan penduduk berhubung masalah setempat.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Zaidy Abdul Talib.

Turut hadir mengiringi Dato’ Menteri Besar, Exco Hal Ehwal Agama, Islam, Adat Melayu dan Pembangunan Desa, Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

=EZY=


Pengarang :