Selangorkini
SELANGOR

MB: Jamal patut hantar katil bantu mangsa banjir bukan SUK

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 25 JAN : Kerajaan Negeri tidak melayani sebarang provokasi melampau pihak tidak bertangungjawab, sebaliknya fokus ke arah memakmurkan kesejahteraan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri amalan politik kotor pihak tidak bertangungjawab terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri kini.

“Saya serah kepada rakyat untuk nilai. Sebaiknya saya akan terus jalankan tanggungjawab untuk bangunkan Selangor dan beri kemakmuran kepada rakyat.

“Pendekatan terbaik adalah saya tidak melayani karenah politik cetek kerana bagi saya kepentingan dan kesejahteraan rakyat lebih diutamakan,” katanya.

IMG_20170125_142222_983Beliau berkata demikian sebagai mengulas provokasi melampau Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengadakan sidang media di Kompleks Kerajaan Negeri pagi ini.

Pada sidang medianya, sembilan buah katil diletakkan di hadapan SUK kononnya sebagai sindiran kepada Kerajaan Negeri menangani isu pelacuran dan perjudian di Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menyarankan supaya Jamal bertindak rasional dan membantu keperluan masyarakat yang terjejas akibat musibah banjir.

“Buat individu berkenaan, sepatutnya katil itu lebih elok hantar ke pusat pemindahan banjir bukan letak depan SUK,” sindir Azmin.

=EZY=


Pengarang :