Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Jangan abai prinsip keadilan sosial

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan penjawat awam untuk tidak mengabaikan prinsip keadilan sosial dalam membangun agenda Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, prinsip itu menjadi penanda aras kepada Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators-KPI) bagi membina masyarakat adil di Selangor.

Katanya, kekayaan dan khazanah negeri tidak memberi erti jika ia tidak diagihkan dengan saksama kepada rakyat.

Himpunan Bulanan SUK (4)“Tiada guna segala kemajuan teknologi dan industri jika ia hanya memberi manfaat kepada segelintir rakyat sahaja.

“Jangan sekadar memberi tumpuan kepada bandar besar seperti Shah Alam dan Petaling Jaya tetapi beri tumpuan juga kepada kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 2,000 penjawat awam pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Dihoskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, majlis turut disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin berikrar, beliau akan sentiasa mendukung tinggi integriti anggota perkhidmatan awam Selangor dan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Saya mempunyai keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap anggota perkhidmatan awam di Selangor. Bagaimanapun, segala ruang bagi menambahbaik mutu perkhidmatan harus diberi perhatian dan tidak diabaikan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :