Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kamarol Zaki serlah keperibadian pimpinan mesra rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 17 JAN: Pemergian Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik disifatkan sebagai kehilangan besar buat seluruh rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin mudah didekati dan sentiasa berpandangan positif untuk membantu Kerajaan Negeri dalam setiap aspek demi keutamaan rakyat.

“Pengalaman saya secara peribadi, setiap kali saya turun ke daerah Sabak Bernam, beliau seringkali berada dalam program dianjurkan Kerajaan Negeri.

“Ini menunjukkan kerjasama baik walaupun beliau berbeza fahaman politik, tetapi atas kepentingan rakyat, kami sentiasa bersama untuk membantu menyelesaikan isu dibangkitkan,” katanya kepada pemberita.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Kamarol Zaki di Hospital Sabak Bernam, di sini.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin turut bertemu isteri arwah, Rosminah Abbas, 56, dan Faridah Abdul Jalil, 43, bagi memberikan sokongan moral kepada mereka.

Bercakap lanjut, Mohamed Azmin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga beliau mendapat khusnul khotimah dengan pengakhiran baik dengan rohnya ditempatkan di dalam syurga Allah penuh nikmat.

“Saya mendoakan semoga arwah mendapat khusnul khotimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga.

“Ini satu kehilangan besar kepada saya secara peribadi kerana beliau saya anggap sebagai sahabat politik yang cukup beradab dan sopan dalam memberi pandangan dan hujah ketika berbahas di Dewan Negeri,” katanya.

Kamarol Zaki meninggal dunia pagi ini selepas ditemui pemandunya dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya di Sungai Air Tawar pagi tadi.

Pegawai Khas Allahyarham, Mohamad Fariz Roslan ketika mengesahkan kematian itu berkata, arwah dijumpai tidak sedarkan diri kira-kira jam 9 pagi selepas gagal dihubungi, sejak awal pagi.

Allahyarham meninggalkan dua isteri dan empat orang anak, Mohd Nasir 32, Mohd Nazmi 30, Mohd Naqib 30 dan Mohd Luqman, 20.

=EZY=


Pengarang :