BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Rakyat lebih utama daripada hasil kajian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JAN: Bertemu dan menyantuni rakyat lebih utama berbanding keputusan kaji selidik, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata hal itu kerana keputusan pilihan raya berdasarkan pembabitan antara pemimpin dengan rakyat.

“Itu hanya kaji selidik, tetapi saya fikir keutamaan paling penting sekarang adalah semua parti-parti politik untuk turun mendekati rakyat dan pengundi bagi menjelaskan dasar dan kedudukan kita.

“Kita mesti dilihat dan kita mesti bertindak bersama-sama sebagai kuasa yang kuat untuk menghadapi Umno dan BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil sesi 2016, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Dewan Jubli Perak, di sini.

DSC_3927Mohamed Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, KEADILAN bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang menyokong agenda reformasi.

“Kami akan bekerjasama dengan semua parti-parti politik yang sokong agenda reformasi.

“Kami gembira untuk bekerjasama dengan mereka, termasuk parti-parti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI) kelolaan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menerbitkan keputusan kaji selidik awal dan simulasi meramalkan pakatan pembangkang boleh memenangi pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada beberapa faktor antaranya separuh daripada mereka yang tidak mengundi dalam pilihan raya umum sebelum ini akan mengundi memihak kepada HARAPAN; para pengundi Cina tetap mengundi pembangkang seperti dalam PRU13 dan mereka dapat memikat hati lebih 38 peratus penyokong PAS.

-nR-


Pengarang :