Selangorkini
SELANGOR

MB: Skim Peduli Sihat bukan ‘ole-ole’ PRU

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan Skim Peduli Sihat yang dilancarkan hari ini merupakan satu ‘ole-ole’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, beliau sendiri tidak mengetahui bila tarikh PRU-14 bahkan program peduli rakyat ini sudah disusun mengikut keutamaan.

“Saya tidak tahu tarikh pilihan raya, macam mana ini menjadi ole-ole pilihan raya.

“Kalau saya boleh umumkan tarikh pilihan raya, tunggu. Penggal akan datang saya akan umumkan tarikh pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita di Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Skim Peduli Sihat.

Katanya, kritikan diberikan supaya Kerajaan Negeri membelanjakan peruntukan RM125 juta kepada program membasmi denggi adalah tidak tepat kerana RM5 juta sudah dikhususkan untuk program itu.

Dalam perkembangan lain beliau meminta semua parti luar Barisan Nasional (BN) berlapang dada dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan individu demi menghadapi PRU-14.

Mohamed Azmin mengakui proses rundingan dalam politik agak rumit dan ia tidak mampu diselesaikan dalam satu pertemuan.

=EZY=


Pengarang :