Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Teliti semula projek tanah perkuburan Cina Kampung Bukit Cerakah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri akan meneliti semula cadangan projek pembinaan tanah perkuburan Cina di Kampung Bukit Cerakah, Kuala Selangor, ekoran mendapat bantahan penduduk lima kampung di daerah itu.

azmin-parlimenDato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turun padang bertemu penduduk bagi menyelesaikan segera isu berkenaan.

“Sebelum ini, memang ada cadangan daripada beberapa pihak untuk bina tanah perkuburan Cina di situ mengikut kepada keperluan.

“Tetapi apabila ada bantahan, kita teliti dan minta pihak berkuasa tempatan jumpa penduduk untuk dapatkan maklum balas,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Mohamed Azmin berkata, proses pendengaran awam penting bagi menilai pandangan semua pihak dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pada 11 Januari lalu, kira-kira 300 penduduk dari lima kampung di Kuala Selangor mengadakan bantahan terhadap cadangan projek pembinaan tanah perkuburan itu ekoran lokasi yang disifatkan tidak sesuai selain berhampiran dengan kediaman penduduk.

Lima kampung yang membantah projek itu ialah Kampung Felda Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kapar Tambahan, Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kerayong dan Bandar Puncak Alam.

-NFN-


Pengarang :