Selangorkini
SELANGOR

MBSA sedia 3 Kaunter Pandu Lalu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini menyediakan tiga Kaunter Bayaran Pandu Lalu di hadapan Wisma MBSA bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, penambahan kaunter itu dijangka mampu menyuraikan kesesakan terutama di musim puncak pembayaran cukai iaitu pada akhir Februari dan Ogos pada setiap tahun.

Katanya, sambutan diterima warga Shah Alam juga amat menggalakkan terhadap perkhidmatan Kaunter Bayaran Pandu Lalu.

MBSA03“Tiga kaunter akan dibuka pada waktu puncak, Februari dan Ogos, manakala satu atau dua kaunter dibuka pada waktu biasa pengoperasian.

“Ia menyediakan perkhidmatan pembayaran sahaja seperti pembayaran cukai taksiran, pembayaran kompaun, pembayaran lesen, pembayaran bil pelbagai sekiranya disertakan bil dan sebagainya.

“Diharap orang ramai dapat memanfaatkan perkhidmatan ini bagi menjimatkan masa serta mengelakkan kesesakan di kaunter MBSA,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 10 Ogos 2016, Kaunter Bayaran Pandu Lalu mula ditutup untuk kerja penambahbaikkan sehingga Oktober 2016.

Ia mula dibuka semula pada 1 November lalu dan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Bagi semakan cukai taksiran, kompaun, dan lain-lain, orang ramai bagaimanapun perlu berurusan di kaunter utama, Wisma MBSA atau membuat semakan di laman sesawang MBSA iaitu www.mbsa.gov.my.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Kaunter Utama, MBSA di talian 03-5522 2724 atau 03-5522 2899.

-nR-


Pengarang :