Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Misi kemanusiaan Myanmar belum berjaya capai 1000 tan makanan dan perubatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JAN: Misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar (FFFM) hanya berjaya mengumpul hampir 500 tan bahan makanan juga perubatan dan jauh daripada sasarannya yang mahu membawa 1,000 tan, pada 3 Februari ini.

Presiden Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jumlah itu hanya mampu memberikan bantuan kepada 30,000 pelarian Rohingya sahaja jika tiada lagi bantuan diterima.

“Masih ada beberapa pihak yang berjanji membantu misi ini, namun belum menyerahkan bahan untuk dibawa ke sana. Saya bimbang sekiranya belayar dengan jumlah muatan kurang dari 1,000 tan dan tinggal dua minggu lagi sebelum ke kem pelarian.

“Misi berkenaan perlu membawa 80 peratus bahan makanan dan 20 peratus lagi untuk perubatan kerana terdapat ratusan ribu pelarian di kem Teknaf, Bangladesh memerlukan bantuan segera selain bantuan makanan kepada rakyat Rohingya yang masih terperangkap di negara mereka,” katanya selepas Dialog Flotilla ke Myanmar, di sini, semalam.

FILE - In this June 13, 2012 file photo, a Rohingya Muslim man who fled Myanmar to Bangladesh to escape religious violence, cries as he pleads from a boat after he and others were intercepted by Bangladeshi border authorities in Taknaf, Bangladesh. She is known as the voice of Myanmar's downtrodden but there is one oppressed group that Aung San Suu Kyi does not want to discuss. For weeks, Suu Kyi has dodged questions on the plight of a Muslim minority known as the Rohingya, prompting rare criticism of the woman whose struggle for democracy and human rights in Myanmar have earned her a Nobel Peace Prize, and adoration worldwide. (AP Photo/Anurup Titu, File)

Katanya, usaha Malaysia bagi membantu pelarian Rohingya kini mula mendapat perhatian dunia termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada beberapa negara luar.

Antaranya United Kingdom (UK), China, Jerman, Belanda, Perancis, Amerika Syarikat, Filipina dan Singapura yang mula menyatakan sokongan serta menghulurkan bantuan.

“Kita ingin capai 1,000 NGO dari seluruh dunia untuk menyatakan sokongan bagi misi kemanusiaan ini.

“Ia diketuai Malaysia tetapi  turut disertai Flotila sedunia, selain itu kita juga dapat sokongan kuat daripada agensi dalam dan luar negara,” katanya.

Azmi turut merayu mana-mana syarikat juga orang ramai supaya tampil menghulurkan bantuan bagi misi pelayaran kemanusiaan yang membantu ratusan ribu pelarian Rohingya itu.

Misi berkenaan akan menggunakan kapal Nautical Aliya dan belayar dari Pelabuhan Klang menuju ke Yangon, Myanmar sebelum meneruskan pelayaran ke Teknaf dengan membawa 200 aktivis termasuk 30 doktor perubatan serta 27 wakil media daripada dalam dan luar negara.

-NFN-


Pengarang :