Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MOOD pamer keterbukaan budaya Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 JAN: Inisiatif pengurusan Surau Al-Syakirin Bandar Utama dengan kerjasama Yayasan Hidayah Centre menjemput komuniti bukan Islam untuk terlibat sama dalam program ‘Mosque Open Day’ (MOOD) menggambarkan keterbukaan budaya di Selangor.

Menyambut baik usaha itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, program seumpama itu wajar dilaksanakan di seluruh negeri.

Beliau berkata, langkah tersebut diyakini mampu mengukuhkan tali persaudaraan antara rakyat negeri itu tanpa mengambil kira fahaman perbezaan agama dan kaum.

“Program yang sangat baik memandangkan surau ini sudah dibuka sejak 20 tahun lalu dan pertama kali ia dibuka kepada komuniti bukan Islam.

Elizabeth“Ia sewajarnya dilaksanakan di masjid dan surau seluruh negeri, sekali gus boleh memberi peluang kepada komuniti bukan Islam untuk bertanya serta mendapat pemahaman jelas.

“Program seumpama ini menggambarkan keterbukaan budaya di Selangor iaitu rakyat hidup secara aman dan saling menghormati agama kaum lain,” katanya.

Antara pengisian program itu termasuk penganjuran aktiviti lain seperti ‘free market’, sesi perkongsian dengan saudara baru, ‘reruai’ ambil gambar ‘How Do I Look In Hijab’.

Turut diadakan juga pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan Segi University & College dan Pusat Perubatan Tropicana.

Sementara itu, Pengarah Program, Jamaludin Shamsudin berkata, objektif program tersebut dijalankan bagi membolehkan masyarakat bukan Islam memahami masjid sebagai pusat aktiviti pembangunan masyarakat setempat.

“Kita bukan nak mengajak atau jauh sekali memaksa sesiapa untuk menukar agama. Apa yang dilaksanakan ini adalah untuk menyampaikan Islam itu sebagai ‘rahmatan lil ‘alamin’ (rahmat sekalian alam), sebuah agama universal dengan nilai universal dan kalau boleh menepis prejudis serta syak wasangka tentang Islam,” katanya.

-NFN-


Pengarang :

Related posts

Exco: Bantuan pendidikan RM22 juta mula diagih

MPK sita 72 set komputer judi

admin

Rizab Selangor meningkat kepada RM3.39 bilion