Selangorkini
PBT

MPAJ: Idea kreatif dialu-alukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 24 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengalu-alukan sebarang idea kreatif diketengahkan oleh jabatan yang bakal menganjurkan perhimpunan bulanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, idea kreatif ditonjolkan perhimpunan bulanan ini bukan sahaja mencerminkan imej dan kredibiliti jabatan di MPAJ.

“Ini merupakan sesuatu yang lari daripada tipikal perhimpunan bulanan apabilakita minta jabatan membuat sesuatu di luar kebiasaan atau di luar kotak dan Jabatan Perancang Bandar menampilkan satu persembahan teater bangsawan yang mana jarang kita saksikan.

“Ini memberi peluang kakitangan MPAJ mengenali seni dan budaya kita dan ditambah lagi MPAJ sendiri selalu mengadakan pertandingan berkaitan kebudayaan melibatkan masyarakat di sini seperti sekarang kita menganjurkan pertandingan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian melibatkan pelajar sekolah,” kata Abd Hamid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas menjayakan pementasan teater bangsawan Antabranta pada perhimpunan bulanan MPAJ yang dianjurkan Jabatan Perancang Bandar, MPAJ di sini, semalam.

Jelasnya, selain sukan, persembahan kesenian dan kebudayaan juga merupakan salah satu medium berkesan untuk menjalin hubungan baik antara MPAJ dengan masyarakat di kawasan pentadbirannya.

Menyentuh pementasan teater bangsawan Antabrata, Abd Hamid memberitahu naskhah tulisan dan arahan Jurulatih Seni Budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Lumpur, Adira Wahinnur itu dipilih ekoran jalan cerita sesuai dengan hasrat Kerajaan Negeri dan MPAJ untuk membawa Selangor ke arah sebuah negeri yang hijau, lestari dan mampan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPAJ, Zuraina Said berkata, pementasan teater bangsawan dipilih jabatannya ekoran selaras dengan tema perhimpunan bulanan kali ini, ‘Membudayakan Bahasa Kebangsaan dan Bandar Hijau’.

“Kita mahukan kelainan pada 2017 ini. Pementasan ini juga diadakan sempena kejayaan MPAJ mendapat tempat pertama daripada 144 PBT seluruh negara bagi kategori membudayakan bahasa kebangsaan bagi tahun 2016.

“YDP sendiri dinobatkan sebagai ketua PBT yang memperjuangkan bahasa kebangsaan. Jadi kami nak kekalkan kedudukan itu sebab itulah tema ini dipilih. Dua elemen ini digabungkan kerana pada 2017 Kerajaan Negeri juga mahu kita bergerak ke arah teknologi hijau,” katanya.

=EZY=


Pengarang :