Selangorkini
PBT SELANGOR

MPAJ kutip 96% cukai taksiran semasa, 85% tunggakan

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 24 JAN: Langkah Kerajaan Negeri mengecualikan cukai taksiran bagi tahun 2016 kepada pemilik rumah kos rendah dan rumah kampung menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan MPAJ meningkatkan kutipan tunggakkan kepada 85 peratus bagi tahun sama.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata hal ini berikutan golongan mempunyai akaun tertunggak tidak perlu lagi membayar cukai taksiran semasa tetapi sebaliknya lebih tertumpu kepada usaha menjelaskan tunggakan cukai masing-masing.

“Kita tidak ada analisis terperinci perkara tersebut tetapi bila Kerajaan Negeri memberi pengecualian cukai taksiran mungkin menjadi salah satu faktor meningkatnya kutipan tunggakan cukai taksiran tadi.

“Di Ampang ini khasnya memang banyak rumah kos rendah, lebih kurang 20,000 unit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas menjayakan pementasan teater bangsawan Antabranta pada perhimpunan bulanan MPAJ yang dianjurkan Jabatan Perancang Bandar, MPAJ di sini, semalam.

Jelasnya, selain itu, MPAJ juga berjaya mengutip sebanyak 96 peratus cukai taksiran semasa bagi tahun sama.

Antara usaha dijalankan MPAJ bagi meningkatkan kutipan cukai taksiran termasuklah dengan menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti masalah golongan lewat atau tidak membayar cukai taksiran.

“Kita melihat hubungan dengan masyarakat. Masyarakat mengenali kita iaitu apa peranan dan tanggungjawab dimainkan MPAJ.

“Usaha dilaksanakan MPAJ seperti mengesan mereka, cuba berhubung, beri notis dan sebagainya dan apabila mereka memohon pembaharuan lesen kita rujuk juga cukai taksiran mereka sama ada tertunggak atau tidak. Kalau tertunggak, kita nasihatkan supaya mereka jelaskan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :