MPS tawar pas bulanan kepada penduduk | Selangorkini


MPS tawar pas bulanan kepada penduduk

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menegaskan pelaksanaan parkir berbayar atau sistem parkir berkupon di kawasan komersial One Selayang, Batu Caves mengikut undang-undang dan kuasa diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, petak letak kereta disediakan untuk kemudahan pembeli unit kedai dan penduduk apartment, tetapi ianya bukan milik eksklusif atau dikhaskan kepada penduduk dan tidak dinyatakan sebagai petak aksesori atau harta bersama.


Katanya, MPS boleh mengenakan caj parking di kawasan tersebut dan bertanggungjawab untuk segala penyelenggaraan jalan dan lampu jalan di kawasan tersebut.

mps-pas-bulanan“Bagi mengambil kira keperluan penduduk, dalam satu mesyuarat yang telah diadakan pada 17 November 2016, MPS telah berbincang dan bersetuju untuk menawarkan satu bentuk kemudahan khas melalui pas bulanan kepada penduduk dengan kadar rata 31.80 (termasuk GST) sebulan.

“Pengeluaran pas ini akan dilaksanakan Suasa Efektif Sdn.Bhd. dengan kerjasama pihak badan Pengurusan JMB One Selayang,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 1,000 penduduk One Selayang membantah tindakan MPS melaksanakan sistem parkir berkupon di kawasan itu mulai 1 Disember lalu.

Zin menjelaskan, skim pemaju One Selayang adalah pembangunan berkonsepkan kawasan perdagangan atau komersial bercampur kediaman melalui kaedah pecah sempadan tanah dan pecah bahagian petak bangunan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318).

Selain itu, pelaksanaan caj parkir tempat kenderaan berkupon telah pun dilaksanakan juga di kawasan pembangunan berstatus yang sama seperti di Medan Batu Caves.

-nR-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next