Selangorkini
NASIONAL

Mungkin ‘sudah masa’ hukuman mati pesalah rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan disaran mengkaji pelaksanaan hukuman mati kepada pesalah rasuah yang melibatkan jumlah suapan besar dan memberi kesan teruk kepada rakyat dan negara.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu tidak mustahil dilaksanakan seperti yang dilakukan di negara China.

“Mungkin sudah sampai masa Malaysia turut mengkaji hukuman mati dengan mengambil kira kesan besar kepada masyarakat awam. Kalau tidak, sampai bila pun mereka tidak takut mengambil rasuah.

“Misalnya laporan SPRM dalam skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JNS), 60 peratus daripada keseluruhan peruntukan untuk projek menyalurkan air bersih di Sabah diselewengkan dan ini memberi kesan kepada berjuta atau beratus ribu rakyat Sabah yang sengsara kerana tiada bekalan air bersih.

“Bayangkanlah, perbuatan khianat seorang dua kerana tamak, mementingkan diri sendiri menyebabkan ramai menderita,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, hukuman penjara  dikenakan pada masa ini tidak memadai khususnya melibatkan kes berprofil tinggi membabitkan berjuta atau berbilion ringgit apabila pesalah masih mampu hidup mewah selepas menjalani hukuman penjara.

Katanya, walaupun wang suapan dirampas tetapi tidak mustahil masih terdapat wang haram lain yang gagal dikesan oleh penyiasat SPRM dan memberi peluang kepada ahli keluarga lain menggunakan wang terbabit sementara pesalah berada di penjara.

Bagaimanapun katanya lagi, hukuman berat itu perlu disertakan dengan ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan penguatkuasaan bagi mendapatkan kesan yang maksimum.

=EZY=


Pengarang :