Selangorkini
SELANGOR

Ops Lesen Anjing Peliharaan: 32 premis diperiksa hanya 3 berlesen

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 27 JAN: Sebanyak 29 notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam Operasi Pemeriksaan Lesen Anjing Peliharaan dari premis ke premis, semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, notis terbabit dikeluarkan terdahulu sebelum mengambil tindakan kompaun kepada pemilik ingkar mendapatkan lesen.

Katanya, dalam pemeriksaan 32 premis, hanya tiga premis sahaja mempunyai lesen.

“Bermula tahun ini, MPK akan menguatkuasakan sepenuhnya lesen bagi membela anjing untuk pemilikan haiwan peliharaan persendirian dan premis komersial di seluruh Klang.

photo 2(9)“Penduduk ingin membela anjing dikehendaki mendapatkan lesen daripada MPK dengan kadar RM10 seekor bagi tempoh setahun,” katanya.

Azmi berkata, anjing berkeliaran tanpa ikatan sama ada berlesen atau tidak akan ditangkap sekiranya operasi dijalankan.

“Pemunya ingkar mendapatkan lesen boleh dikenakan denda tidak melebihi daripada RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya di bawah UUK 3 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPK) 2007.

” Sesuatu keselahan yang berterusan boleh dikenakan denda sejumlah wang tidak melebihi daripada RM200 bagi satu hari selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan,” katanya.

Tahun lalu, sebanyak 986 ekor anjing dilesenkan dan 337 notis dikeluarkan serta 54 kompaun dikenakan sepanjang tahun lalu.

Setakat 21 Januari ini, sebanyak 259 ekor anjing dilesenkan.

Terdahulu, Yang DiPertua MPK, Dato’ Yasid Bidin berkata penguatkuasaan itu bertujuan mengawal populasi anjing selain memudahkan proses identifikasi pemilikan haiwan peliharaan berkenaan.

-nR-


Pengarang :