Selangorkini
SELANGOR

Peguam kemuka permohonan dokumen 136,000 pengundi tak beralamat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan Negeri mengemukakan permohonan kepada mahkamah pada 7 Februari nanti supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan dokumen berkaitan lebih 136,000 pengundi didapati tidak mempunyai alamat.

Peguam mewakili Kerajaan Negeri, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, permohonan itu dibuat bagi membolehkan mereka memperolehi maklumat lengkap mengenai status 136,000 pengundi dalam daftar pemilih SPR.

“Pada 7 Februari saya buat permohonan untuk kita minta dokumen daripada SPR tentang isu lebih 136,000 pengundi di mana alamat mereka tidak ada.

“Ini adalah permohonan untuk mendapat lebih maklumat dan selepas itu kita teruskan dengan isu tidak ada alamat ini dan kedua bahawa notis dan syor yang dipamerkan SPR itu tidak lengkap,” kata Ambiga.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbicaraan permohonan semakan kehakiman berhubung persempadan semula oleh SPR di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sebelum itu salah seorang peguam yang turut mewakili Kerajaan Negeri, Datuk Dr Cyrus berhujah di hadapan Yang Arif Azizul Azmi Adnan mengemukakan alasan semakan kehakiman itu.

Antara alasan beliau, SPR menggerakkan pengundi berdasarkan paten pengundian pilihan raya lalu untuk mendapatkan kelebihan politik kepada parti tertentu.

Selain itu, senarai pengundi dipamerkan sebelum ini juga didapati bukan terkini dan tidak tepat.

=EZY=


Pengarang :