Pelantikan Pengerusi Felda baru patut jadi cermin kepada PM | Selangorkini


Pelantikan Pengerusi Felda baru patut jadi cermin kepada PM

OLEH DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN

PAS tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV).

Punca masalah Felda hari ini kebanyakannya datang daripada FGV dan pengurusan Isa. Mengekalkan Isa di FGV akan menyebabkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sukar melaksanakan langkah-langkah memulihkan Felda.


Contohnya, apakah Shahrir mampu melaksanakan agenda pemulihan Felda yang melibatkan pembatalan keputusan-keputusan yang dibuat Isa sebelum ini terutamanya urusan yang melibatkan FGV tanpa sebarang gangguan daripada Isa?

Bagaimana pula dengan pembelian Eagle High Plantation? Apakah Shahrir dapat melakukan apa yang betul untuk menyemak semula pembelian ini yang turut dikritik adik PM, Datuk Nazir Razak sendiri tanpa perlu bertembung dengan Isa?

Isu pembelian EHP akan memberi petanda yang jelas apakah Shahrir bebas mentadbir Felda ataupun penyusunan ini hanya sekadar wayang untuk mengalihkan kemarahan para peneroka daripada Isa.

PAS menjangkakan Shahrir dan Isa bakal bertembung, dan ini akan satu persaingan politik yang tidak perlu di dalam Felda yang bakal merugikan Felda dan khasnya peneroka.

Sepatutnya Isa perlu dibuang terus daripada Felda.

PM juga berkata akan wujudnya “pembahagian tanggungjawab” iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka, dan perniagaan FELDA dengan penyusunan terbaru Felda ini.

Penyusunan Felda boleh dijadikan cermin buat PM. Sekiranya betul PM dapat memahami pentingnya “pembahagian tanggungjawab”, diharap beliau dapat melepaskan jawatan Menteri Kewangan dengan kadar segera.

Pembahagian tanggungjawab antara PM dan Menteri Kewangan adalah sangat penting dalam mewujudkan sistem semak dan imbang di antara apa yang cuba dilakukan PM dengan kemampunan dan kepentingan kewangan negara.

* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Timbalan Presiden PAS

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next