Selangorkini
SELANGOR

Pencarian mangsa hilang di Bukit Broga diteruskan

SHAH ALAM 28 JAN: Pencarian Mohd Azarul Mukriz Abd Rahman yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih, dekat sini, Ahad lepas, diteruskan walaupun pusat kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian ditutup.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pasukan SAR sentiasa bersiap sedia di pangkalan dan boleh digerakkan setiap masa manakala operasi SAR akan diteruskan melalui kaedah yang lain bagi mencari manga berusia 20 tahun itu.

“Dakwaan pasukan bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) yang mengatakan pasukan menyelamat akan menghentikan operasi semalam dan memberi persetujuan kepada pihak lain untuk meneruskan pencarian adalah tidak benar,” katanya lapor BERNAMA.

Othman berkata, pihak berkuasa tidak menghalang sekiranya terdapat pihak yang mahu meneruskan khidmat mencari mangsa secara sukarela.

Beliau berkata, keputusan menutup pusat kawalan dibuat selepas perbincangan dengan pasukan menyelamat terlibat berikutan operasi mencari telah dilakukan di lokasi itu secara menyeluruh.

Katanya, pencarian telah dijalankan secara terperinci meliputi jarak 13 kilometer ke Barat, tujuh kilometer ke Timur dan tujuh kilometer dari permulaan pendakian ke sempadan hutan Jelebu sepanjang operasi dijalankan.

“Semasa operasi SAR dijalankan sejak Ahad, pasukan menyelamat telah merujuk peta lokasi dan kami percaya tiada lokasi lagi yang tidak digeledah bagi mencari mangsa,” katanya.

Semalam, operasi SAR disambung pada pukul 8 pagi dengan kekuatan 117 anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Unit Anjing Pengesan (K9), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), MOSAR, Pejabat Daerah, dan orang asli beserta penggunaan tiga unit dron.

Pasukan penyelamat telah digerakkan dengan menumpukan pencarian di lokasi berisiko dan lokasi terakhir Mohd Azarul Mukriz dilihat berdasarkan maklumat lima rakannya yang turut mendaki bukit berkenaan bersamanya.

Mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya pada 6 petang, Ahad lepas.

=EZY=


Pengarang :