Selangorkini
GLOBAL

Pencarian MH370 digantung

SHAH ALAM 17 JAN: Selepas hampir tiga tahun pencarian pesawat MAS MH370 di Lautan Hindi, misi berkenaan digantung hari ini tanpa menemui bangkai dan jejak pesawat itu sejak ia hilang pada 8 Mac 2014, lapor Agensi Berita Antarabangsa BBC News.

“Walaupun setelah segala usaha menggunakan sains terbaik yang ada… pencarian tersebut tidak dapat mengesan pesawat itu,” kata pihak berkuasa Malaysia, Australia dan China dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, AFP melaporkan, kenyataan bersama tiga negara itu menyebut tiada maklumat baharu ditemui bagi menentukan lokasi spesifik pesawat berkenaan.

“Sehubungan itu, pencarian dasar laut bagi MH370 ditangguhkan,” kata kenyataan itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM500 juta bagi misi berkenaan.

Katanya, semua kapal yang terbabit dalam operasi mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, mula meninggalkan zon pencarian hari ini.

Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dari 15 negara dan 12 anak kapal di dalam pesawat, dengan majoriti penumpang ialah rakyat China.

Pada 5 Ogos 2015, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengesahkan sepihan yang dijumpai di Pulau Reunion adalah milik MH 370.

=EZY=


Pengarang :