Pendidikan percuma: Penyelesaian kemelut PTPTN | Selangorkini


Pendidikan percuma: Penyelesaian kemelut PTPTN

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Keadaan pendidikan tinggi Malaysia pada hari ini banyak berpunca daripada penswastaan sektor tersebut. Ini bermula pada 1996 ketika Najib Abdul Razak merupakan Menteri Pendidikan dan Akta Pendidikan serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta diperkenalkan.

Setahun kemudian, PTPTN ditubuhkan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian. Ini membolehkan IPTS tumbuh seperti cendawan.


Pada 2007, jumlah peruntukan PTPTN yang diagihkan kepada IPTS mengatasi IPTA buat pertama kali dan tren ini kekal hingga hari ini. Pada 2015, RM2.5 bilion diagihkan kepada IPTS berbanding RM1.7 bilion untuk IPTA.

Expert Market, sebuah laman web perniagaan mengumpulkan data yuran university daripada senarai Quacquarelli Symonds’ Top Universities bagi tahun akademik 2014/2015 dengan laporan Gallup Median Self-Reported Income tahun 2013.

universitiPurata yuran university di Malaysia menurut laporan mereka adalah AS$18,000. Peratus gaji yang dibelanjakan untuk yuran university di Malaysia adalah 55 peratus.

Sebagai perbandingan, peratusnya adalah Chile 73 peratus, Amerika Syarikat 53 peratus, United Kingdom 42 peratus, Singapura 36 peratus dan Jepun 18 peratus. Kerajaan Malaysia memberi respon bahawa ini tidak menggambarkan yuran IPTA tetapi jika dibandingkan dengan yuran IPTS angka ini masuk akal.

Pada masa yang sama, kerajaan memotong perbelanjaan untuk IPTA dengan drastik. Pada tahun 2016, peruntukan IPTA dipotong RM1.4 bilion, 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peruntukan bagi biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajaran dipotong RM812 juta (23 peratus). Justeru, pelajar miskin yang bergantung kepada bantuan ini menjadi mangsa utama.

Bagi tahun berikutnya, peruntukan bagi 20 IPTA dikurangkan daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion (19.23 peratus). Lantas tidak mengejutkan bahawa tempat yang ditawarkan di IPTA menjadi lebih sedikit.
Panel Penasihat Pendidikan Tinggi Parti Keadilan Rakyat – yang saya anggotai – menerima banyak aduan pelajar cemerlang tidak mendapat tempat langsung atau luar bidang yang mereka pohon akibat daripada tren ini.

Maka, pelajar yang menuntut peluang pendidikan tinggi di Malaysia mendapati jalan yang ada hanyalah di IPTS yang lebih mahal. IPTS juga menganggap PTPTN sebagai peluang mereka mendapat wang dengan mudah sedangkan PTPTN menanggung risiko mengutip hutang daripada mahasiswa apabila mereka tamat belajar.

Apabila ramai graduan berhadapan dengan pengangguran, gaji yang rendah serta kos sara hidup yang tinggi, maka kadar pembayaran semula PTPTN kekal rendah.

Pada 2015, kadar pengangguran bagi mereka dengan pendidikan tinggi adalah 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus bagi mereka yang mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak terbayar bagi tahun tersebut mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6 peratus.

Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN telah menggunakan beberapa langkah. Ini termasuklah menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS, yang menjejaskan mereka yang tidak membuat bayaran daripada membuat pinjaman rumah atau kereta; menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar; menghentikan pemberian pinjaman penuh; dan menggalakkan pengeluaran simpanan KWSP bagi membolehkan graduan membuat bayaran.

Penyenaraian peminjam di bawah CCRIS dan menggalakkan pengeluaran wang persaraan yang berharga tidak memberi kesan yang positif, malah mendorong peminjam yang miskin terjebak di dalam kitaran kepapaan.

Saya beranggapan pembayaran sepatutnya dibuat hanya selepas graduan mendapat gaji yang selesa – sebagaimana dibuat di United Kingdom dan Australia – mungkin, RM4,000 sebulan.

Bagi jangkamasa panjang, jelas sekali PTPTN tidak boleh bertahan. Penyelesaiannya adalah pendidikan percuma untuk semua IPTA. Apatah lagi ini bukan angan-angan kosong tetapi realiti di Finland, Sweden, Norway, Negara Jerman dan Scotland. Chile memperkenalkan dasar ini bagi separuh 50 peratus pelajar termiskin pada tahun ini akibat kadar yuran yang tinggi (sila rujuk di atas).

Senator Bernie Sanders yang hampir mengejutkan Hillary Clinton di dalam memperoleh pencalonan Presiden bagi Parti Demokrat di Amerika juga membuat cadangan yang sama.

Selain itu, pelajar miskin sewajarnya diberi elaun sara hidup dan penginapan. Pada 2013, dianggarkan untuk memperkenalkan pendidikan percuma di Malaysia akan menelan belanja RM5 bilion setahun.

Kita sewajarnya beransur-ansur mengakhiri biasiswa sarjana muda JPA dan MARA ke luar negara. Dasar ini masuk akal ketika negara kekurangan universiti pada 1970an dan 1980an tetapi realiti hari ini sudah berubah.
Lagipun, ramai pemegang biasiswa JPA dibenarkan berhijrah ke luar negara tanpa membayar sesen pun kepada kerajaan! Alangkah baiknya kita melabur di dalam IPTA kita sendiri?

Kita juga sewajarnya membina lebih banyak IPTA untuk mengurangkan permintaan terhadap IPTS. Ini akan mengurangkan keperluan IPTS yang kurang berkualiti dan membolehkan hanya IPTS terbaik untuk kekal beroperasi.

Pada masa yang sama, kita boleh belajar dari pengalaman Jerman yang membolehkan mereka melaksanakan pendidikan tinggi percuma dengan mengasaskan pendidikan teknikal dan vokasional yang menarik dan berkualiti bagi mengelak kebanjiran graduan universiti di pasaran.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next