Pengguna risau harga bahan mentah makanan terus meningkat | Selangorkini


Pengguna risau harga bahan mentah makanan terus meningkat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 JAN: Isu harga makanan yang meningkat terutamanya bahan mentah terus menjadi antara fokus pengguna dan peniaga kerana iamembebankan rakyat.

Tinjauan SelangorKini di pasar Seksyen 6, Shah Alam, rata-rata pembeli menzahirkan rasa bimbang dengan harga bahan mentah yang semakin mahal.


Suri rumah, Siti Azimah Hassan berkata, harga ayam khususnya yang merupakan antara permintaan tinggi pembeli semakin mahal berbanding sebelumnya.

“Dulu harga ayam sekilogram hanya RM7, kini telah mencecah RM8. Manakala ayam kampung RM14.

“Apabila harga semakin meningkat, banyak kos perbelanjaan lain turut terjejas kerana perlu mengurangkan perbelanjaan kerana dalam keluarga barangan masakan adalah lebih utama,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, peniaga, Azlan Masot berkata, beliau terpaksa meningkatkan harga makanan kerana harga bahan mentah mahal.

“Tidak dinafikan ramai pelanggan merungut sebab harga makanan semakin mahal, tetapi kami sebagai peniaga bukanlah sesuka hati ingin menaikkan harga mahal, sebab kos modal yang kami keluarkan juga meningkat berbanding dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memutuskan untuk mengekalkan harga di pasar tani, malah jauh lebih murah berbanding harga pasaran walaupun harga barang mentah melambung tinggi.

Menurut laporan harga purata bahan mentah FAMA, harga barangan di pasar tani adalah lebih murah antaranya harga telur gred A dijual dengan harga RM11.10 (30 biji) berbanding di pasar beharga RM12.50.

Selain itu, bahan lain seperti sayuran juga lebih murah seperti Bayam dan kangkung, RM3.50 berbanding harga di pasar RM5.00.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next