Selangorkini
SUKANKINI

PKNS FC jadi skuad utama Selangor?

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Pasukan bola sepak PKNS FC kini dilihat berpotensi menjadi skuad utama Selangor yang mewakili negeri itu jika kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tiada kesudahan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari berkata, ciri-ciri yang ada pada pasukan itu kini mendorong Kerajaan Negeri memberi sokongan penuh dalam pembangunan sukan bola sepak.

“PKNS FC mempunyai ciri pasukan bola sepak yang lengkap daripada pasukan Liga Super sehingga ke akademik. Kerajaan Negeri juga akan terus melihat apa lagi faktor yang boleh membantu pasukan itu terus membangun.

PKNS FC1“Ini pasukan Selangor, wakil Selangor kalau masuk pertandingan pun mereka membawa bendera Selangor. Jadi tidak ada masalah,” katanya ketika ditanya komitmen diberi Kerajaan Negeri kepada pasukan itu berbanding pasukan FAS.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jersi 2017 dan Bas PKNS FC di Laman PKNS, Shah Alam, semalam.

Sebelum ini FAS dibelenggu kemelut selepas wujud ketidaksefahaman antara bekas presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan barisan exco persatuan itu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang jika FAS berminat untuk berbincang menyelesaikan kemelut melanda.

“FAS kalau berminat kena datang berbincang dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :