SUKANKINI

PKNS FC yakin bangkit terus beri cabaran hebat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 JAN: Kelemahan bahagian tengah menjadi punca kekalahan PKNS FC kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, di sini.

Bagaimanapun Ketua jurulatihnya, E Elavarasan, tidak berasa kecewa dan yakin pasukannya sedia bangkit dengan persembahan lebih baik dalam perlawanan seterusnya selepas ini.

Beliau berkata, sebagai pendatang baru dalam liga utama sememangnya PKNS FC memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cabaran baru berdepan pasukan lebih berpengalaman.

“Untuk membentuk persefahaman dan rentak permainan bagus, kita memerlukan sedikit masa lagi.

“Berdepan Kelantan dengan pengalaman lebih kurang 10 tahun dalam Liga Super, ia memang mencabar apabila mereka mempamer aksi mantap dan konsisten.

“Prestasi mereka tidak terjejas walaupun beberapa isu melanda pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

PKNS FC ditewaskan Kelantan 1 – 3 menerusi gol jaringan Mohammad Ghaddar (dua gol) dan Badhri Radzi manakal gol saguhati The Red Ants dihasilkan Gonzalo Soto.

PC (2 of 11)Mengulas semua gol Kelantan itu, Elavarasan berkata, dua gol awal berpunca dari kesilapan pertahanan PKNS FC sendiri memberi ruang kepada lawan untuk bertindak manakala gol Badhari hasil sepakan percuma diakuinya menarik.

“Bahagian tengah pasukan memang diakui nampak kekurangan kita dan walaupun 10 minit awal kita beraksi baik tetapi selepas itu agak terganggu.

“Kita mempunyai barisan serangan bagus tetapi bahagian tengah jelas agak lemah dengan bola tidak sampai ke sasaran,” katanya.

Elavarasan berkata, kekalahan kedua dialami pasukannya tidak melemahkan semangat mereka untuk bangkit selepas ini.

Katanya, ia hanya permulaan dan beliau yakin PKNS FC mampu memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam Liga Super.

“Ketika di Liga Perdana, cabarannya berbeza dengan pasukan dihadapi tidak sekuat begini.

“Ia hanya perlawanan kedua dan kita kali pertama dalam Liga Super yang mana kita akan berusaha membaiki kelemahan yang ada,” katanya.

=EZY=


Pengarang :