Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Polis, MPAJ perlu perjelas ‘pesta dangdut’ warg asing

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 JAN: Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Samad mahu polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi penjelasan berhubung majlis warga asing yang diibaratkan pesta dangdut, baru-baru ini.

Katanya, beliau bimbang majlis itu akan menimbulkan pertembungan antara penduduk tempatan dengan warga asing.

“Penganjuran majlis ini tak pernah dimaklumkan kepada saya dan hanya dapat tahu melalui aduan penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Pandan.

iskandar01“Majlis seperti ini tidak boleh dilakukan kerana mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian dalam kalangan penduduk kampung yang perlu dikekalkan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Iskandar mahu polis dan MPAJ perlu sentiasa melakukan pemantauan supaya insiden terbabit tidak berlaku lagi.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Pandan, Abu Hanifah Abdul Rahman berkata, warga asing itu turut membuat pentas di tanah lapang di kawasan berkenaan.

“Mereka turut adakan karaoke serta bunyi muzik yang dimainkan secara kuat hingga larut malam. Majlis berkenaan berlangsung selama dua hari, sehingga semalam,” katanya.

Abu Hanifah berkata, pihaknya membuat laporan polis dan MPAJ untuk tindakan lanjut.

“Kejadian sama turut berlaku di tapak pasar malam berhampiran sebuah pasar raya, sebelum ini. Mereka buat pesta besar-besaran, malahan berjoget lambak di khalayak ramai,” katanya.

-NFN-


Pengarang :