Rakyat tuntut pemimpin integriti, bukan korupsi | Selangorkini


Rakyat tuntut pemimpin integriti, bukan korupsi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JAN : Jolokan negara kleptokrasi ‘diraih’ Malaysia ekoran pendedahan individu bergelar ‘Malaysian Official 1’ (MO1) menuntut pemimpin negara ini lebih berintegriti untuk mentadbir negara.

Demikian tuntutan rakyat yang mahukan negara ini ditadbir secara bertanggungjawab oleh pemimpin yang bersih dan bebas korupsi ke arah pembentukan dan kesejahteraan Malaysia lebih baik.


Jurukur Penilai, Muhammad Firman, 25 berkata, pemimpin negara perlu memahami prinsip integriti dan ketelusan bagi menentukan hala tuju pembangunan negara yang cemerlang dan bebas rasuah.

“Integriti itu bermaksud ketelusan dan kejujuran dalam kepimpinan.

“Pemimpin yang bijak perlu tahu apa yang perlu didahulukan dan bersifat telus dalam memimpin.

“Sifat integriti itu perlu menjadi tunjang utama dalam tampuk pemerintahan negara,” katanya.

Mahasiswa IPTA, Mohd Hanapi, 24 berkata, pemimpin negara perlu telus dan memahami realiti kehidupan rakyat masa kini.

“Pemimpin berintegriti diharap mampu menjadi modal insan kepada rakyat yang sentiasa peka terhadap perkembangan dan tindakan yang dibuat pucuk pimpinan negara.

“Keutamaannya, pemimpin bukan sekadar memegang jawatan untuk terus kekal berkuasa, namun keperibadian yang ditonjolkan seharusnya seiring dengan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat,” katanya.

Bagi Pereka Grafik, Muhammad Azam, 26, kemajuan sesebuah negara katanya berpandu kepada daya kepimpinan dan sifat integriti yang ada dalam diri setiap pemimpin.

“Kalau mahu dinilai kemajuan sesebuah negara itu, lihatlah kepada pemimpin dan rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, Surirumah, Shahrina Sallehudin berpendapat, pemimpin berintegriti juga perlu memahami kebajikan dan tuntutan rakyat yang mahu menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Pemimpin itu perlu ada sifat integriti, bersih dan paling utama adalah faham penderitaan rakyat dan sentiasa fokus terhadap kebajikan untuk bantu rakyat,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next