Selangorkini
GLOBAL

Ratusan berhimpun di Lapangan Antarabangsa JFK bantah dasar Trump

NEW YORK 29 JAN: Beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) di sini, bagi membantah sekatan kemasukan pelancong dari beberapa negara Islam.

Agensi berita antarabangsa melaporkan bantahan itu adalah susulan penahanan beberapa pendatang termasuk pemegang kad hijau Amerika Syarikat (AS) di lapangan terbang itu.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan arahan eksekutif bagi menyekat kemasukan pelancong dari beberapa negara majoriti Islam.

Dalam bantahan di luar balai ketibaan, terminal empat JFK, penunjuk perasaan melaungkan: “Tiada larangan, tiada tembok, tempat perlindungan untuk semua” dan “Tiada benci, tiada ketakutan, pendatang dialu-alukan di sini”.

Protes tercetus selepas pemegang pasport dari beberapa negara Arab disekat daripada melalui pemeriksaan kastam di lapangan terbang AS, semalam, manakala sebahagian lain dihalang daripada menaiki pesawat menuju ke AS.

Jumaat lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif bagi mengetatkan undang-undang imigresen dan menghalang kemasukan pelarian dari negara-negara majoriti Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, AS akan memberi pengecualian kepada rakyat Syria beragama Kristian yang mahu melarikan diri daripada kancah perang saudara di negara itu.

Dalam arahan itu, Trump menguatkuasakan penangguhan kemasukan pelarian ke negara itu selama empat bulan, manakala larangan sementara terhadap pelancong dari Syria dan enam negara majoriti Islam lain.

Sementara itu, bantahan di luar JFK itu disertai beberapa pertubuhan yang berpangkalan di New York, termasuk Make the Road New York, Jews for Racial and Economic Justice (JFREJ), Black Latino Asian Caucus dan The New York Immigration Coalition.

=EZY=


Pengarang :