Ribut salji tebal lumpuhkan Istanbul, ratusan penerbangan batal | Selangorkini


Ribut salji tebal lumpuhkan Istanbul, ratusan penerbangan batal

ISTANBUL 7 JAN: Ribut salji melanda Istanbul hari ini sehingga melumpuhkan bandar raya itu dengan ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan manakala Selat Bosphorus ditutup.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan salji setebal 40 sentimeter menyelubungi sebahagian bandar metropolis itu sejak malam tadi, menyebabkan jalan raya sesak kerana ramai pengguna mahu meninggalkan bandar pada hujung minggu.

Syarikat Penerbangan Turki (THY) membatalkan beratus-ratus penerbangan dari dua lapangan terbang utama iaitu Ataturk dan Sabiha Gokcen susulan jarak penglihatan rendah.


Menurut agensi berita Dogan, empat penerbangan antara benua THY iaitu dari India, Maldives, Afrika Selatan dan Vietnam terpaksa dilencong dari Istanbul ke selatan bandar Gaziantep di utara bandar Syria.

Sementara itu, pengawal pantai menghentikan sementara laluan kapal di Selat Bosphorus, antara jalan laut paling sibuk di dunia dari kedua-dua arah susulan jarak penglihatan yang semakin buruk.

Selain itu, syarikat feri perbandaran, Sehir Hatlari, yang mengendalikan penyeberangan penumpang antara bahagian Eropah dan Asia di bandar itu, mengumumkan semua laluan dihentikan.

Agensi kaji cuaca meramalkan ribut salji berkurangan esok dan suhu berada bawah paras beku selama beberapa hari.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next