Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Ringgit kukuh hari berbanding dolar AS

SHAH ALAM, 23 JAN: Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS, susulan peningkatan harga minyak global, pagi ini

Pada jam 9.21 pagi, ringgit didagangkan pada 4.4420/4470 berbanding dolar AS iaitu lebih tinggi berbanding penutup 4.4450/4480, pada 20 Januari lalu.

Peniaga berkata, penanda aras minyak mentah Brent menokok lapan cent kepada AS$55.57 satu tong pada jam 8.16 pagi, berikutan kenyataan pengeluar minyak bahawa pengurangan pengeluaran dilaksanakan mengikut jadual.

“Ini membantu menaikkan sentimen pasaran dan meningkatkan permintaan bagi ringgit,” katanya.

Sementara itu, Naib Presdien ForexTime Market Research, Jameel Ahmad berkata, impak sebenar pelantikan Donald Trump kepada pasaran kewangan hanya akan diketahui sedikit masa lagi.

ringgit“Pelabur menunggu pencerahan berhubung bagaimana presiden baharu dilantik itu akan melaksanakan janji ketika berkempen sebelum memutuskan kedudukan strategi berikutnya” katanya.

Selain itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama. Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1286/1324 dari 3.1112/1135 (20 Januari) dan susut berbanding yen kepada 3.9027/9074 dari 3.8619/8648.

Ringgit juga lebih rendah berbanding pound British kepada 5.5019/5107 dari 5.4625/4679 dan lebih lemah berbanding euro kepada 4.7649/7721 dari 4.7321/7358.

Sementara itu, Reuters melaporkan harga minyak menokok pagi ini disokong kenyataan pengeluar minyak pada hujung minggu berkenaan kejayaan proses pengurangan pengeluaran.

Kenaikan harga itu bagaimanapun dihadkan oleh peningkatan aktiviti penggerudian dengan pengeluaran di Amerika Syarikat akan terus meningkat.

Dagangan hadapan Brent, penanda aras antarabangsa minyak mentah, didagangkan pada AS$55.57 satu tong pada 0016 GMT, naik lapan sen berbanding penutup sebelum ini. West Texas Intermediate (WTI) naik lapan sen kepada AS$53.30 satu tong.

-NFN-


Pengarang :