Selangorkini
EKONOMI

Ringgit terus alami kejatuhan berbanding dolar AS

SHAH ALAM, 17 JAN: Ringgit terus mengalami kejatuhan dari semalam untuk dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Ia berikutan meningkatnya kebimbangan terhadap kemungkinan kenyataan daripada Rizab Persekutuan (Fed) minggu ini, kata peniaga.

Pada jam 9.03 pagi, unit tempatan itu diniagakan pada 4.4650/4680 berbanding dolar daripada 4.4640/4680 semalam.

Ringgit, bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Ia juga susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1237/1260 daripada 3.1208/1245 semalam, namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3803/3848 daripada 5.3845/3911.

Ia susut berbanding euro pada 4.7356/7397 daripada 4.7269/7321 dan jatuh berbanding yen kepada 3.9139/9176 daripada 3.9069/9107.

Sementara itu, Reuters melaporkan harga minyak meningkat pagi ini selepas Arab Saudi berkata ia akan mematuhi komitmen pengurangan output.

Bagaimanapun, kebimbangan dalam pasaran kewangan mengenai tinjauan bekalan minyak mentah memberi kesan ke atas harganya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan meningkat 15 cents pada AS$52.52 menjelang 0034 GMT.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, masih belum diniagakan.

Peniaga berkata, kenaikan kecil harga minyak AS berlaku selepas Arab Saudi, pengeksport terbesar minyak mentah dunia berkata, ia akan mematuhi komitmen mengurangkan output di bawah perjanjian global pengeluar, termasuk Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia.

=EZY=


Pengarang :