Selangorkini
PBT SELANGOR

RM200,000 diperuntuk pastikan keindahan Taman Rekreasi Puncak Jalil

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperuntukkan RM200,000 setahun bagi memastikan keindahan Taman Rekreasi Puncak Jalil, Jalan PUJ 4, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dalam keadaan terus terjaga.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pembangunan taman rekreasi itu selaras dengan ‘Wishlist Green City 2030’ daripada komuniti MPSJ agar mewujudkan persekitaran segar, nyaman dan selesa bagi semua lapisan masyarakat.

“Bajet tersebut dimanfaatkan untuk membaiki sebarang kerosakan infrastruktur seperti pagar, lampu dan sebagainya.

“Diharap pembukaan taman rekreasi ini dapat memberi manfaat kepada semua penduduk di sekitar Taman Puncak Jalil,” katanya dalam kenyataan.

Taman Rekreasi Puncak Jalil berkeluasan 6.33 ekar dibangunkan pihak pemaju iaitu Maxisegar Sdn Bhd dan diserahkan kepada pihak Majlis bermula 2017.

Cadangan pembangunan itu bermula sejak 2003, walau bagaimanapun ia terbengkalai pada 2006.

Pihak Majlis meminta kerjasama pemaju untuk memastikan projek ini disiapkan demi kesejahteraan penduduk sekitar yang memerlukan sebuah taman riadah.

=EZY=


Pengarang :