Selangorkini
EKONOMI

Saham AS merudum reaksi negatif dasar Trump

NEW YORK 31 JAN: Saham Amerika Syarikat (AS) merudum apabila pelabur bimbang selepas Presiden Donald Trump mengenakan larangan perjalanan ke atas tujuh negara majoriti Islam.

Agensi Berita Antarabangsa AP melaporkan saham syarikat tenaga, yang melonjak sejak tahun lalu mengalami kerugian terbesar.

Kaunter penerbangan juga menjunam selepas perintah eksekutif Trump menyebabkan protes dan gangguan di lapangan terbang serta mencetuskan kebimbangan terhadap perjalanan.

Syarikat teknologi gergasi pula terjejas dengan kebimbangan bahawa langkah pentadbiran berikutnya akan menjadikan lebih sukar untuk mereka mengambil pekerja.

Pelabur mengambil untung dengan menjual saham syarikat bahan mentah dan industri, yang merekodkan rali sejak pilihan raya November lalu.

VIX, yang mengukur tahap ketidaktentuan di Wall Street pula melonjak, walaupun ia secara relatifnya kekal rendah.

Saham di Eropah juga merosot.

Ahli strategi Wells Fargo Investment Institute, Sameer Samana, berkata pelabur tidak terlalu bimbang dengan berita larangan perjalanan, namun mereka sendiri tidak pasti mengenainya.

Purata perindustrian Dow Jones jatuh 122.65 mata, atau 0.6 peratus kepada 19,971.13.

Ia jatuh sebanyak 223 mata pada awal pagi.

Komposit Nasdaq jatuh 47.07 mata, atau 0.8 peratus, kepada 5,613.71 selepas ia ditutup tinggi Jumaat lalu.

=EZY=


Pengarang :