Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Segamat tenggelam, bantuan rakyat ditagih

OLEH SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN

Banjir di Segamat kini memasuki hari kedua. Tragedi ini sememangnya tidak dijangka memandangkan pembinaan tebatan banjir telah pun dibuat di Kampong Jawa pasca banjir besar 2006.

Bahkan sebahagian besar kereta yang kandas di tengah bandar Segamat semalam menjadi bukti situasi panik sebahagian besar warga Segamat yang keluar berpusu-pusu mencari bekalan makanan ketika paras Sungai Segamat melepasi paras bahaya.

Mengikut pengalaman saya yang pernah menjadi mangsa banjir besar 2006, biasanya bekalan sedia ada hanya cukup untuk 3 hari awal.

Memasuki hari keempat – dengan hampir kesemua pasaraya-pasaraya dan kedai barangan runcit ditenggelami air – Segamat akan menjadi seperti pulau yang keputusan bekalan makanan dan air bersih.

Jika air surut sedikit pun dalam sehari dua ini, keadaan tetap sama memandangkan bekalan air bersih yang masih belum beroperasi dan bekalan makanan yang terpaksa dicatu.

Lebih memburukkan keadaan apabila ramai anak-anak kecil di pusat-pusat pemindahan yang terputus bekalan susu dan terpaksa menahan gigitan nyamuk di malam hari.

Dengan bekalan elektrik yang perlu dipotong (atas sebab keselamatan), keadaan yang amat tidak selesa ini menyebabkan raungan tangisan bayi-bayi di pusat pemindahan ibarat irama syahdu yang memilukan hati kita sebagai orang dewasa.

Segamat memerlukan anda. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang masih terkandas di sini.

Kami amat-amat memerlukan bantuan kewangan untuk membeli keperluan-keperluan seperti selimut, kelambu bayi, kipas tangan, susu formula bayi, air mineral dan bekalan-bekalan makanan lain untuk dihantar daripada luar menaiki lori dan masuk ke kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

Sumbangan anda boleh dihulurkan ke akaun Maybank MUAR CARE – 551221101387

* SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional / Penyelaras DUN Pemanis


Pengarang :