Selangorkini
SELANGOR

Selangor sasar peningkatan pelancong Singapura

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 20 JAN : Kerajaan Negeri mensasarkan peningkatan besar pelancong dari Singapura untuk tempoh 2017, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Beliau yakin, peningkatan tersebut didorong hasil komitmen Tourism Selangor yang menjalankan pelbagai program pelancongan bersama negara jiran itu.

“Kita sudah mempunyai perancangan untuk tempoh panjang bersama Singapura bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara itu ke Selangor.

Elizabeth“Saya optimis ia mampu dicapai selepas Selangor terlibat dalam persidangan pelancongan di Singapura yang turut dihadiri Pengarah Urusan, Tourism Selangor.

“Keadaan ini ditambah pula dengan ketidaktentuan nilai mata wang negara yang memberi manfaat kepada pelancong dari Singapura untuk datang ke Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Tourism Selangor dan Syarikat Penerbangan FireFly di Subang SkyPark Airport di sini, semalam.

Tourism (4)Sebelumnya, Elizabeth berkata, Singapura mencatatkan jumlah pelancong ketiga tertinggi di Selangor bagi tempoh 2016 lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Selangor menerima jumlah kemasukan pelancong seramai 7.21 juta dengan jangkaan jumlah tersebut bertambah untuk tempoh sama tahun ini.

“2017 akan menyaksikan permulaan gambaran lebih positif kepada industri pelancongan negeri dengan sasaran kemasukan jumlah pelancong yang lebih ramai lagi tahun ini,” katanya.

-nR-


Pengarang :