Selangorkini
SELANGOR

Semakan kehakiman persempadanan SPR disambung 7 Februari

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Azizul Azmi Adnan memerintahkan permohanan Kerajaan Negeri untuk semakan kehakiman isu persempadanan semula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambung pada 7 Febuari nanti.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujah barisan peguam yang mewakili Kerajaan Selangor semalam.

“Isu teknikal dibentangkan di mana peguam meneruskan hujah SPR tidak mematuhi beberapa Perlembagaan Persekutuan termasuk merosakkan hubungan dalam sesuatu kawasan dan komuniti beberapa contoh dikemukakan.

“Antaranya sebuah kampung nelayan dimasukkan ke dalam kawasan tidak secocok dengan gaya hidup sesebuah masyarakat, tanpa konsultansi dilakukan dengan pihak berkepentingan apabila ini menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang.

“Bagaimanapun hujah diteruskan pada 7 Februari dan kita lihat bagaimana mahkamah dapat menerima hujah dikemukakan pihak peguam nanti,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sebelum itu peguam mewakili Kerajaan Negeri, Datuk Dr Cyrus dan Derek Fernandez dalam hujahnya memberitahu mahkamah SPR gagal menjustifikasikan persempadanan yang membawa perpecahan hubungan tempatan apabila pengundi di sesuatu kawasan dipisahkan kepada kawasan lain sekaligus memberi kesan kepada perkhidmatan wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, PBT juga terpaksa membuat pindaan atas tanda jalan dan perancangan bandar akibat perubahan nama baru seperti di Petaling Jaya dan Damansara.

Selain itu, pengendalian data bagi tujuan mengatasi wabak sesuatu penyakit seperti denggi juga akan terjejas, mengelirukan dan berisiko memberi mesej yang salah akibat kecelaruan data.

Jelasnya, keadaan ini mengakibatkan status sesuatu wabak di sesuatu kawasan tidak tepat termasuklah status tidak merbahaya ditandakan di kawasan sebenarnya merbahaya.

=EZY=


Pengarang :