Sepang PBT pertama basmi aedes guna minyak masak terpakai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Sepang PBT pertama basmi aedes guna minyak masak terpakai

CYBERJAYA 25 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) susulan kejayaannya menghasilkan semburan pembasmi nyamuk aedes ‘Aedes Bio-Based Fuel’ (ABBF) menggunakan minyak masak terpakai.

Yang Dipertua MPS, Datuk Puasa Md Taib berkata ABBF dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sejak 2015, dan produk itu kini diguna di lokaliti terpilih seperti Taman Dengkil Jaya sebagai percubaan.

“Produk akan dipatenkan dan didaftarkan dalam waktu terdekat supaya penggunaannya boleh diperluas,” katanya lapor BERNAMA.


Katanya MPS merancang menggunakan ABBF di kawasan yang merekodkan peningkatan kes demam denggi.

Antara kelebihan ABBF ialah mempunyai kesan membunuh nyamuk sama seperti semburan diesel, mengurangkan kesan toksik, tidak memedihkan mata atau menngeluarkan bau serta asap yang tidak selesa.

ABBF juga mengurangkan risiko kesihatan kepada pekerja yang melakukan aktiviti semburan dan mereka yang terdedah kepada asap semburan selain mesra alam sekitar.

Pada majlis hari ini, Puasa menerima sijil MBOR daripada Penolong Pengurus MBOR Ayman Izzaz.

Mengulas lanjut, Puasa berkata, kekangan yang dihadapi oleh MPS pada masa ini ialah bekalan minyak masak terpakai yang terhad iaitu sekitar 5,000 kilogram sebulan.

Sementara itu, Ketua Program Teknologi Biomass FRIM Wan Asma Ibrahim berkata minyak masak terpakai yang dibeli MPS diproses di bengkel biotenaga FRIM di Kepong.

Katanya, secara purata setiap tan minyak masak terpakai menghasilkan sekurang-kurangnya 80 peratus ABBF.

“Pada masa ini MPS membeli bekalan minyak masak daripada pengusaha makanan di kompleks beli-belah sekitar Sepang menerusi satu persefahaman,” kata Wan Asma.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next