Selangorkini
NASIONAL

SPRM perlu laksanakan amaran, tidak pilih kasih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 JAN: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad digesa tidak membuat pendakwaan terpilih tetapi bersifat menyeluruh termasuk individu politik terlibat skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, KEADILAN turut mengalu-alukan tindakan tegas SPRM kepada ahli politik didapati terlibat dengan rasuah.

“Kita alu-alukan jika SPRM betul-betul nak bertegas kepada mana-mana ahli politik yang dikaitkan dengan rasuah.

“Kita berpendapat tak patut hanya ambil tindakan kepada pegawai kerajaan sahaja tetapi juga kepada pihak lain yang terlibat membuat keputusan hingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit,” kata Tian Chua ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, kegagalan SPRM mengambil tindakan tegas terhadap kes rasuah berprofil tinggi hanya menjejaskan lagi kewibawaan SPRM.

Sebelum ini, Dzulkifli dalam temubual media berkata masa untuk ahli politik terlibat rasuah ditangkap akan tiba juga.

Katanya, SPRM tidak akan melepaskan ahli politik, ahli perniagaan, pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sesiapa sahaja terlibat rasuah.

“Kepada ahli politik yang korup, saya ada satu perkataan sahaja – tunggu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :