Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Taman Rekreasi Puncak Jalil lengkap pelbagai kemudahan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 JAN: Taman Rekreasi Puncak Jalil yang terbengkalai sejak 2006 kini dibuka kepada awam yang diharapkan dapat mewujudkan persekitaran segar dan selesa bagi semua lapisan masyarakat.

Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pembangunan taman rekreasi awam itu selaras dengan ‘Wishlist Green City 2030’ komuniti MPSJ.

Katanya, ia dapat memberi manfaat kepada para penduduk di Taman Puncak Jalil dan kawasan sekeliling dengan pembukaan taman rekreasi itu.

MPSJ Rekreasi (1)“Taman rekreasi ini menempatkan beberapa kemudahan untuk orang awam seperti struktur teduhan, wakaf, laluan pejalan kaki (450 meter) dari bawah ke atas bukit, kerusi taman dan kemudahan asas seperti tong sampah juga papan tanda.

“Selain itu, pokok sedia ada cuba untuk dikekalkan dengan penambahan sedikit yang baru bagi mengindahkan taman rekreasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Taman Rekreasi Puncak Jalil yang berkeluasan 6.33 ekar itu dibangunkan pemaju iaitu Maxisegar Sdn Bhd dan diserahkan kepada MPSJ, bermula tahun ini.

Cadangan pembangunan itu bermula sejak tahun 2003, namun projek itu terbengkalai, pada tahun 2006.

MPSJ meminta kerjasama pemaju untuk memastikan projek itu disiapkan demi kesejahteraan penduduk sekitar yang sangat memerlukan sebuah taman riadah.

-NFN-


Pengarang :