Selangorkini
SELANGOR

Tandas baru kemudahan peniaga dan penduduk

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 JAN: Peniaga dan penduduk di SS2 kini boleh menggunakan tandas awam baru yang dibuka baru-baru ini oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, tandas baru yang menggantikan tandas lama berusia 25 tahun itu dibuka setiap hari untuk kemudahan awam khususnya peniaga kawasan itu.

“Waktu operasi tandas ini lebih lama berbanding tandas lain bermula jam 7 pagi hingga 12 malam dengan penempatan pekerja pembersihan secara giliran.

“Ia dilengkapi dengan bilik penyusuan bayi dan sebuah pejabat pengurusan MBPJ,” katanya pada majlis perasmian, di sini.

Pada masa sama, Azizi mahu orang ramai menjaga kebersihan tandas awam bagi memberikan keselesaan pengguna lain dan pelancong.

Katanya, ia sekaligus meningkatkan imej MBPJ dan mempromosikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sebagai sebuah bandaraya yang bersih.

“Dalam usaha memelihara kebersihan tandas awam, aspek budaya pengguna merupakan faktor paling rumit untuk diubah. Ini kerana sikap orang ramai.

“Ia termasuk vandalisme berleluasa. Keadaan ini tidak baik untuk kesihatan dan keselesaan. Dipohon orang ramai bersama membantu MBPJ menjaga tandas awam dengan sebaiknya,” katanya.

Untuk rekod, MBPJ menyelenggara 14 buah tandas awam dengan melantik pekerja ‘contract for service’ dari kalangan ibu tunggal dan miskin.

=EZY=


Pengarang :