Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada plastik hari ini?

OLEH MOHD EZLI MASHUT

APA? Tiada beg plastik hari ini? Tentu ramai yang mengalami ‘kejutan budaya’ apabila kali pertama mengalami keadaan penggunaan plastik diharamkan. Ia ekoran sudah lama pengguna dibiasakan dengan penggunaan plastik untuk membeli belah sejak trend itu bermula 1970-an,

Tahukah kita bahawa hampir 1 trilion beg plastik digunakan setiap tahun di seluruh dunia dengan mengambil masa lebih 1,000 tahun untuk ia terurai. Dengan hanya menggunakan beg plastik selama kira-kira 12 minit sahaja menyebabkan kesannya berpanjangan terhadap alam sekitar.

bebas-plastik1Kajian dilakukan Forum Ekonomi Dunia dan Ellen MacArthur Foundation menjangkakan pada 2050 jika trend penggunaan beg plastik tidak berubah jumlah berat plastik tidak diguna ia lebih tinggi daripada ikan seluruh dunia.

Menyedari realiti menggerunkan ini, bermula 1 Januari 2017, Hari Tanpa Beg Plastik yang sebelum ini hanya diadakan setiap hari Sabtu di Selangor dipanjangkan kepada tujuh hari seminggu. Ini bermakna peniaga di Selangor tidak lagi membekalkan beg plastik secara percuma.

Selangor mula mengharamkan penggunaan beg plastik pada setiap hari Sabtu sejak tahun 2009. Kempen Hari Tanpa Beg Plastik bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini mampu dijadikan sebagai tabiat harian.

Kempen ini diharap memberi impak kepada alam sekitar bukan sahaja untuk masa sekarang, malah untuk masa depan buat anak cucu kita. Kajian menunjukkan 71 peratus rakyat Selangor merasakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ pada hari Sabtu sahaja tidak memadai.

 

FAKTA BAHAYA BEG PLASTIK

Lebih kurang 500 billion ke 1 trilion beg plastik digunakan serata dunia. Ini bermaksud lebih dari sejuta beg plastik dalam seminit. Dan berbilion-billion beg ini akan menjadi sampah.

Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan diperbuat dan sumber amat berharga – minyak. Lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.

Sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau pun kita mengurangkan penggunaan beg plastik dan sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik sudah sedia terkumpul.

makan-plastikBeg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita.

Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut. Selain itu beg plastik juga menyebabkan, berlaku peresapan air yang menyebabkan banjir, dan merosakkan kesuburan tanah.

Malahan satu juta hidupan laut terkorban setiap hari akibat termakan atau tertelan sampah plastik yang dibuang setiap hari. Itu belum lagi kesannya terhadap udara apabila dibakar menyebabkan gas berbahaya terbebas.

Fakta ini sudah cukup untuk membuatkan kita takut masa hadapan dunia jika sikap penggunaan beg plastik tidak berubah.

 

RAKYAT SELANGOR CINTAI ALAM SEKITAR

Lebih daripada 90 peratus penduduk Selangor sedar bahawa beg plastik merupakan penyumbang terbesar terhadap pencemaran alam sekitar.

Berikutan kejayaan kempen lepas untuk mengurangkan penggunaan beg plastik pakai-buang dan polistirena, Kerajaan Selangor memutuskan semua peruncit tidak akan membekalkan beg plastik secara percuma serta melarang penggunaan polistirena bermula 2017.

Bagi peruncit yang memohon atau memperbaharui lesen perniagaan, antara syarat ditetapkan adalah larangan penggunaan polistirena dan beg plastik pakai buang. Jika pengguna masih perlukan beg plastik, caj minima dikenakan oleh peruncit.

plastik-lautTahukah anda yang secara purata, beg plastik hanya digunakan untuk 12 minit? Lebih mudah untuk bertukar kepada beg yang diperbuat dari bahan yang boleh diguna semula.

Kebergantungan anda kepada beg plastik boleh menghantui anda! Beg plastik dan bekas polistirena yang anda hanya guna sekejap akan kekal seumur hidup.

Sudah tentu anda mempunyai beberapa beg yang boleh diguna semula di rumah! Simpan di dalam kereta atau berdekatan pintu rumah anda. Simpan juga di dalam beg tangan atau beg galas yang anda gunakan setiap hari.

Jika masih terlupa boleh dapatkan kotak kadbod dari peruncit anda atau minta peruncit anda untuk memberikan diskaun jika membawa beg yang boleh diguna semula.

 

KESEDARAN MESTI BERMULA SEKARANG

Jadi sekiranya anda ditawarkan beg plastik dengan harga 20 sen selepas ini, jangan ragu-ragu untuk menolak. Jadikan amalan membawa beg kitar semula jika anda pergi berbelanja.

Jika hanya 1 daripada 5 orang di Malaysia mengamalkan sedar dan bersama-sama kempen ini, kita dapat mengurangkan sebanyak 110,822,400,000 beg sepanjang umur.

Tanamkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar. Ayuh, jom sertai kempen ini dengan menandatangani ikrar untuk hidup tanpa plastik dan polistirena pakaibuang! Jom klik: http://www.bebasplastik.my
* MOHD EZLI MASHUT adalah Penolong Pengarang SelangorKini


Pengarang :