Selangorkini
SELANGOR

Tradisi santuni rakyat diteruskan, MB lawat Kampung Seri Aman

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 21 JAN : Sudah menjadi kelazimannya buat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terus mendekati rakyat tanpa mengambil kira perbezaan fahaman agama dan bangsa.

Pagi ini, Mohamed Azmin meluangkan masa mendekati penduduk Kampung Seri Aman dalam Program Sehari Bersama Pimpinan, di Dewan Kampung Seri Aman Mas, di sini.

MB SERI AMANBeliau tiba seawal jam 8.30 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam dengan mengambil peluang bersarapan pagi serta beramah mesra bersama penduduk setempat.

Difahamkan, ini merupakan kali keempat Dato’ Menteri Besar hadir ke perkampungan di sini selepas menerajui tampuk kepimpinan negeri sejak 2014.

Turut mengiringi beliau, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dato’ Puasa Mohd Taib, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Borhan Aman Shah.

Dalam perkembangan itu, kira-kira 500 penduduk setempat mengambil peluang hadir meraikan kunjungan Dato’ Menteri Besar.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata, beliau optimis untuk terus mendekati masyarakat di setiap pelusuk negeri.

“Tugas saya bukan duduk dan tunggu laporan di tingkat 21 Pejabat Kerajaan Negeri sahaja, sebaliknya saya optimis untuk turun sendiri melihat keadaan sebenar rakyat.

“Saya yakin peluang inilah dapat memberi ruang kepada saya memahami secara dekat keperluan dan kebajikan rakyat dengan lebih konsisten,” katanya.

Terdahulu, Kampung Seri Aman Mas dikenali umum sebagai Kampung Tanah Liat, namun ditukar nama selepas Kerajaan Pakatan mula mentadbir Selangor sejak 2008.

-nR-


Pengarang :