Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Tubuh suruhanjaya bebas aduan salah laku polis, pantau kematian dalam tahanan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis perlu ditubuhkan di peringkat Persekutuan bagi menangani kes kematian dalam tahanan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kula Segaran berkata, 269 kes kematian dalam tahanan dilaporkan bagi tempoh 16 tahun berdasarkan jawapan Kementerian Dalam Negeri bagi sesi parlimen lalu.

“Statistik kematian dalam tahanan yang dicatatkan setiap tahun menunjukkan wujudnya masalah besar dan perlu diselesaikan segera.

Kulasegaran“Kerajaan perlu sedar bahawa setiap nyawa adalah penting dan setiap banduan atau tahanan mempunyai hak yang sama untuk hidup,” katanya dalam kenyataan.

Daripada 269 kes itu, dilaporkan 220 kematian disebabkan penyakit yang merosakkan organ dan 120 kematian sejak tahun 2000 diputuskan mahkamah tiada keperluan inkues.

Sementara itu, 14 kes kematian masih dalam proses inkues, manakala 15 kes sedang disiasat.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi, S Nathan Balan minggu lalu berhubung kes kematian pemandu lori P Chandran, pada tahun 2012.

Potral RoketKini melaporkan, dalam penghakiman setebal 86 muka surat itu, hakim itu berkata kematian pemandu lori terbabit berlaku kerana polis tidak mematuhi Peraturan-peraturan Lokap 1953.

“Dalam kes ini, hakim menyatakan bahawa polis sedar bahawa Chandran sakit dan perlu mengambil ubat.

“Apa yang berlaku sangat menyedihkan dan sukar diterima kerana kematian berlaku disebabkan kegagalan pegawai penyiasat mengikuti peraturan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :