BERITA UTAMA SELANGOR

Tubuhkan tabung bantu pengurusan rumah kos rendah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri disaran menubuhkan tabung bantu pengurusan rumah kos rendah bagi tujuan penyelenggaraan dan pembersihan unit kediaman kos rendah yang lebih komprehansif serta berkesan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha berkata, keperluan tersebut perlu dilaksanakan supaya pengurusan rumah kos rendah tidak terikat dan bergantung sepenuhnya di bawah kawal selia Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan.

“Cadangan ini sudah dibuat sejak persidangan Dewan Negeri lalu bagi membolehkan penyelenggaraan unit rumah kos rendah diurus secara sistematik.

haniza“Tabung ini berupaya membantu pengurusan rumah kos rendah menyelenggara sebarang kos pembersihan atau fasiliti persekitaran kawasan secara efektif dan membantu penduduk,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, keberkesanan dasar baru itu juga diyakini membolehkan sebarang kos penyelenggaraan dan pembersihan unit kediamaan jenis kos rendah termaktub di bawah seliaan program tersebut.

Dalam perkembangan lain, Haniza memaklumkan, pihaknya komited memastikan kapasiti pembangunan di kawasan Dun Taman Medan diusahakan secara konsisten.

Katanya, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pengumuman belanja pembangunan yang diumumkan Kerajaan Negeri pada pembentangan Belanjawan Negeri, Oktober lalu.

“DUN Taman Medan juga tidak terkecuali untuk menikmati bentuk pembangunan baru menerusi pengumuman belanjawan negeri oleh Dato’ Menteri Besar sebelum ini.

“Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri menggalakan pembangunan mampan di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

-NFN-


Pengarang :