Turki ikrar perangi kumpulan pengganas habis-habisan | Selangorkini


Turki ikrar perangi kumpulan pengganas habis-habisan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Turki, yang terkesan oleh serangan pengganas yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh pada awal Ahad, berikrar akan memerangi habis-habisan kumpulan pengganas dan penyokong mereka.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turki bersikap tegas dalam melakukan apa sahaja demi melindungi keselamatan warganegaranya dan keamanan di rantau ini.

Serangan dahsyat itu jelas menunjukkan keganasan tidak mengenal siapa dan hanya bertujuan untuk mencederakan dan membunuh, dan mereka menyerang “keamanan rakyat bagi tujuan mencetuskan huru-hara”,” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada BERNAMA oleh Pejabat Media Kaunselor, Kedutaan Turki, di sini.


night1Seorang pegawai polis dan warganegara asing antara yang maut dalam serangan pengganas di sebuah kelab malam di Istanbul yang turut mengakibatkan 69 orang cedera.

“Saya merakamkan takziah kepada rakyat kita, warganegara asing yang merupakan tetamu kita dan kepada keluarga pegawai keselamatan kita, dan mendoakan mereka yang cedera agar cepat sembuh,” kata Erdogan.

Serangan itu berlaku tiga minggu selepas dua insiden pengeboman di Istanbul yang membunuh sekurang-kurangnya 45 orang, kebanyakan daripada mereka pegawai polis.

Sementara itu, Perdana Menteri Turki Binali Yildirim berkata Turki tidak akan tunduk kepada keganasan.

“Kami tidak akan membiarkan keganasan mengancam perpaduan dan persaudaraan di negara kami. Kami tidak akan tunduk kepada ancaman keganasan,” katanya selepas melawat mereka yang cedera di sebuah hospital di Istanbul.

Yildirim turut menyangkal dakwaan bahawa pengganas memakai kostum Santa Claus, menyatakan dakwaan itu tidak berasas.

Lelaki itu ialah pengganas bersenjata, katanya.

=EZY=

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next