Selangorkini
NASIONAL

Yakin ‘terlepas’ didakwa antara punca golongan muda terjebak rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 JAN: Terlalu kerap dihidangkan berita pemimpin tinggi kerajaan, penjawat awam dan lain-lain terlibat rasuah berprofil tinggi terlepas daripada pendakwaan menjadi antara faktor mendorong golongan berumur bawah 40 tahun turut terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Hal ini berikutan, keadaan ini memberi persepsi kepada golongan itu bahawa kebarangkalian ditangkap dan didakwa atas tuduhan rasuah sangat tipis sama seperti yang mereka lihat.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, lebih memburukkan keadaan apabila pucuk kepimpinan negara turut dikaitkan dengan skandal mega 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Antara penyebab mendorong anak muda terlibat dengan rasuah adalah kepimpinan melalui teladan. Apabila pemimpin negara termasuk pucuk pimpinan terlalu banyak terlibat dengan skandal dan pengubahan wang haram dan ini menjadikan anak muda berfikir kalau pemimpin tinggi boleh buat kenapa mereka tak boleh buat, lagipun taklah sebanyak mana seperti mereka.
“Mereka dapat lihat banyak contoh individu terlibat rasuah terlepas dan ini menyebabkan timbul tanggapan jika mereka mengambil rasuah, peluang mereka untuk terlepas juga tinggi di sebabkan penguatkuasaan yang lemah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan tidak memberi rasuah kepada penerima tetapi sebaliknya membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pihak yang meminta rasuah.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, statistik SPRM menunjukkan seramai 1,045 daripada 1,092 orang yang ditahan sejak 2013 kerana melakukan jenayah rasuah adalah golongan berumur 40 tahun ke bawah.

=EZY=


Pengarang :