Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

AMK: Rombakan FAS perlu disegerakan

OLEH THIBAN SUBBRAMANIAM

Hari ini penyokong-penyokong FAS digemparkan dengan berita Datuk Seri Subahan Kamal terpilih menjadi presiden FAS yang baharu selepas menang tanpa bertanding jawatan presiden FAS dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa FAS (EGM)yang diadakan pada hari ini. Beliau menggantikan YAB Datuk Seri Azmin Ali yang meletakkan jawatan sebagai Presiden FAS tempoh hari oleh kerana mentaliti berpolitik dan tidak efficient di kalangan barisan pengurusan FAS.

Angkatan Muda Keadilan Selangor melihat tindakan FAS mengadakan EGM dan melantik Datuk Seri Subahan Kamal adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan retorik.

Perlantikan Datuk Seri Subahan Kamal juga melanggar saranan Tuanku Sultan sebagai Penaung Diraja FAS bersama DYTM Raja Muda Selangor yang menyarankan bahawa Kriteria untuk Calon Presiden adalah individu ini tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik.

Tambahan pula peminat FAS juga jelas tidak mahu seorang lagi ahli politik menyertai FAS dan mengetuainya. Ramai penyokong Selangor telah menunjukkan ketidakpuasan hati dengan perlantikan Datuk Seri Subahan Kamal melalui media sosial.

Datuk Subahan bin Kamal adalah ahli politik yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Taman Templer, Selangor dari Barisan Nasional yang diwakili oleh parti UMNO.

Angkatan Muda Keadilan Selangor ingin mempersoalkan mengapa seseorang yang ada latar belakang politik diangkat sebegitu untuk menjadi Presiden FAS tanpa menghormati saranan Tuanku Sultan? Adakah perlantikan beliau berdasarkan saranan Tuanku? Apakah tindakan FAS yang tidak menghormati saranan Tuanku wajar?

Sebagai penyokong Selangor kami berpendapat bahawa Datuk Subahan merupakan individu yang tidak layak untuk menjadi presiden FAS. Datuk Subahan kini merupakan presiden bagi Konfederasi Hoki Malaysia (HMC) dan beliau pula diangkat untuk menguruskan FAS menjadi tanda tanya mengenai fokus beliau dalam membangunkan bola sepak selangor.

FAS perlukan pimpinan baharu yang profesional, integriti tinggi dan komited untuk membangunkan bola sepak Selangor. Oleh kerana itu, perlantikan beliau selaku Presiden FAS adalah tidak wajar dan FAS perlukan rombakan segera bagi menyelamatkan bola sepak selangor.

Keputusan EGM FAS cukup mengecewakan Penyokong Selangor yang terus menekankan bahawa barisan pimpinan FAS perlu diperbaharui dan diterajui oleh mereka yang bebas politik.

Angkatan Muda Keadilan Selangor menyarankan bahawa FAS perlu dirombak dengan segera dan menyokong penuh DYTM Raja Muda Selangor menjadi Presiden FAS demi menyelamatkan dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor. Ini adalah hasrat setiap anak muda Selangor yang mencintai Bola Sepak Selangor.

Justeru itu, kami memohon Tuanku DYTM Raja Muda Selangor membuat rombakan FAS dengan segera.

Thiban Subbramaniam adalah Naib Ketua AMK Selangor.

-nR-


Pengarang :