Selangorkini
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Beri masa lihat keberkesanan kempen bebas plastik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 FEB: Tempoh masa sebulan adalah masih terlalu awal untuk merumuskan keberkesanan Kempen Selangor Bebas Plastik, kata Elizabeth Wong.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau itu sebaliknya berkata, Kerajaan Negeri memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan bagi mendapatkan angka keberkesanannya.

Katanya, ia adalah tempoh masa ideal untuk melihat sebarang perubahan berhubung penggunaan beg plastik dalam kalangan penduduk Selangor.

“Kempen baru berlangsung sebulan takkan kita sudah mahu buat rumusan kerana itu tidak menunjukkan sebarang perbezaan jelas.

“Tetapi ia berbeza sekiranya kita memberi tempoh masa enam bulan, kita dapat sekurang-kurangnya melihat sama ada bilangan penggunaan plastik menurun, meningkat atau lain-lain,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditanya sama ada Kerajaan Negeri melakukan audit dan penilaian sejak kempen itu dilaksanakan pada awal Januari lalu.

Elizabeth turut diajukan tindakan terhadap peniaga kecil-kecilan yang masih meneruskan penggunaan beg plastik tanpa sebarang caj.

“Jika terdapat aduan, orang ramai boleh hubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk tindakan sebab ia adalah di bawah syarat pelesenan.

“Sesiapa yang melihat perbuatan itu dan rasa tidak patut, boleh mengadu kepada PBT kerana itu di bawah bidang kuasa mereka, bukan pejabat saya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :