BNM: Langkah stabil ringgit buah hasil | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

BNM: Langkah stabil ringgit buah hasil

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 FEB: Langkah diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menstabilkan ringgit Disember lalu membuahkan hasil, apabila purata kadar turun-naik tukaran asing (FX) harian (intraday) mata wang tempatan itu mengecil kepada kira-kira 53 mata asas pada Januari daripada 82 mata asas pada Disember lalu.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) BNM dalam kenyataan memaklumkan, ringgit kekal stabil berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) dengan pergerakannya sama seperti mata wang serantau lain.


Ia juga stabil dengan mata wang utama yang kini sedang dipengaruhi perkembangan dalam pasaran kewangan AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS pada tahun ini.

FMC berkata pasaran pertukaran asing (FX) dalam negara terus mencatat jumlah transaksi harian purata AS$9.1 bilion dalam semua jenis transaksi FX.

ringgit“Jumlah purata transaksi tukaran harian ringgit adalah AS$5.2 bilion, dengan purata transaksi semerta (spot) dan hadapan (forward) sebanyak AS$2.3 bilion sehari.

“Sejak pelaksanaan langkah memajukan pasaran kewangan diumumkan pada 2 Disember 2016, FMC mendapati keadaan adalah bertambah baik seperti ditunjukkan jumlah aktiviti dagangan dalam pasaran FX.

“Sebanyak AS$37 bilion transaksi pertukaran asing berkaitan dengan eksport dan import barangan dijalankan pada Januari sehingga 15 Februari 2017,” katanya.

Pada masa sama, data Bank Negara juga menunjukkan imbangan bertambah baik antara aliran pertukaran asing eksport dan import, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa.

Menurutnya, sejak langkah berkenaan diperkenalkan, penukaran hasil perolehan eksport mengatasi import sebanyak AS$372.9 juta pada Disember 2016 dan AS$741.3 juta pada Januari 2017.

“Bank Negara dan FMC akan terus memantau kemajuan dan maklum balas orang ramai berhubung dengan inisiatif ini dan meneruskan interaksi.

“Perbincangan dengan semua pihak berkepentingan memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya dan dapat mewujudkan persekitaran pasaran kewangan kondusif dan teratur bagi memudahkan aktiviti perniagaan dalam menyokong ekonomi,” katanya.

-nR-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next