FAS wajar laksana pembaharuan demi kebaikan bola sepak Selangor | Selangorkini


FAS wajar laksana pembaharuan demi kebaikan bola sepak Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 FEB: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) harus menyambut baik dan bersedia melaksanakan pembaharuan seperti mana titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Saranan dikemukakan itu dilihat Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GABUNGAN) sebagai langkah positif ke arah pembangunan dan kemajuan bola sepak negeri.


Presidennya, Mohd Faizal Wahid, berkata tujuh langkah dicadangkan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan bagi membentuk hala tuju baru kerana majoriti Exco FAS sedia ada telah hilang daya kepimpinan.

MOHD FAIZAL WAHID / KELAB GABUNGAN PENYOKONG SELANGOR

“Sebelum ini timbul desas desus yang kuat mengatakan Dato’ Seri Jamal Yunos serta Datuk Seri Subahan Kamal disebut sebagai calon Presiden, namun kriteria dikeluarkan istana jelas menolak “individu pengacau” dan ahli politik sebagai calon jawatan penting itu.

“FAS juga perlu bersedia mengundurkan sebahagian besar Exco sedia ada memandangkan Tuanku Sultan dan Raja Muda Selangor berkehendakkan 60 peratus adalah orang baru,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, garis panduan lain seperti pengukuhan kewangan dan pelan pembangunan berterusan turut bakal membuahkan hasil positif sekiranya perubahan diingini dilakukan namun seandainya FAS berdegil, dibimbangi apa dirancangkan tidak menjadi kenyataan.

Katanya, biarpun prestasi Selangor belum menjunam secara drastik, keadaan semasa kepimpinan FAS bakal menjerumuskan bola sepak negeri ke tahap lebih teruk.

“Selangor jelas tertinggal dalam banyak aspek dan ini memerlukan butang panik ditekan segera agar tidak terlambat.

“Bukan kedudukan semasa liga yang menjadi isu atau pencapaian singkat di mana-mana pertandingan piala domestik tetapi entiti FAS sebagai badan bola sepak induk menjadi persoalan.

“Sampai bila kita mahu dimomok dengan kejayaan kecil tetapi di sebaliknya kualiti dari A ke Z pasukan sering diperlekehkan di saat pasukan lain berkembang maju dan pantas ke hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Faizal berkata, FAS tidak perlu lagi mencongak sebarang peluang untuk terus menggunakan persatuan demi kepentingan politik dan peribadi mereka sendiri.

FAS akan melakukan rombakan dan pemilihan baru dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa, pada 23 Februari ini.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next